Jumaat, 24 Jun 2011

Ingatan Sultan Johor

NUSAJAYA - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan rakyat supaya jangan mengungkit perkara yang termaktub dalam perlembagaan bagi menghindari sikap tidak puas hati dan buruk sangka.

Baginda tuanku bertitah, tindakan mengungkit oleh mana-mana kaum sama ada Melayu, Cina ataupun India, boleh membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat, lebih-lebih lagi membawa kepada polarisasi antara kaum.

“Jangan diungkit apa yang termaktub, supaya terhindar daripada rasa tidak puas hati dan buruk sangka dan sikap ini sangat berbahaya kepada rakyat.

“Dalam hal ini, semua rakyat jelata tidak kira bangsa dan keturunan mempunyai tanggungjawab memelihara keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati ini.

"Oleh itu, jangan kita benarkan golongan politik yang mahukan kuasa semata-mata atas kepentingan politik yang sempit dengan cara membawa perpecahan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi yang membawa kepada polarisasi antara kaum,” titah baginda tuanku di perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-12.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Ali Hassan dan barisan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Baginda tuanku yakin usaha kerajaan yang berterusan untuk menyatupadukan semua rakyat akan membolehkan negeri ini maju dan makmur dan menyeru semua pihak terus memelihara kestabilan serta kemakmuran dengan berprinsipkan muafakat.

Institusi masjid juga hendaklah diperkukuhkan supaya rakyat negeri ini kekal bersatu padu dan terhindar dari unsur-unsur perpecahan.

“Jangan sekali-kali menjadikan masjid sebagai medan perbalahan di kalangan ahli kariah,” titahnya.

Selain itu, baginda tuanku juga menyokong usaha Kerajaan Negeri dengan membina 121 sekolah agama dalam tempoh tiga tahun ini untuk menampung keperluan lebih 120,000 murid yang kini menumpang di sekolah kebangsaan atau menyewa di bangunan lain.

Sultan Johor turut memuji usaha Kerajaan Negeri dalam usaha pembangunan infrastruktur yang dibangunkan di negeri ini dengan nilai pelaburan RM26 billon dalam tempoh tiga tahun lalu.

Baginda tuanku bertitah, semua pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Kesepuluh hendaklah disempurnakan agar dapat dinikmati rakyat di samping menarik lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negeri.

“Dengan pelaburan yang direkodkan sekali gus ia telah mewujudkan 54,000 peluang pekerjaan dan usaha ini perlu ditingkatkan.

“Perkembangan kegiatan ekonomi ini hendaklah diperluaskan dengan penyertaan dan penglibatan rakyat Johor walaupun di peringkat perusahaan kecil dan sederhana, dan saya mahu kerajaan terus membantu golongan ini,” titah baginda tuanku.

http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9223203.asp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan